Akhirnya Abah kembali kepada Penciptanya

#Entri ni dah draft lama dah. Ni sekarang baru dapat publish.. huh. bizi benor makcik. Hew hew#

Hari ni dah hampir sebulan abah pergi.
Dah tiap-tiap weekend kteorang balik umah mak teman kan dia kat rumah.
Maklum la kejadian masih baru lagi.
Mak perlukan anak-anak untuk jadi peneman di kala hati masih perit sedih kehilangan suami tercinta.
Setakat ni nampak mak macam steady je. 
Depan kteorg la.
Tak tau la dalam hati dia macam mana kan.
Tapi sekarang pun nampak mak banyak berkurung dalam bilik.
Banyak rehat tido dan letih badan after dah sebulan lebih duduk hospital dulu jaga arwah abah dulu.

Tengah malam 12 April, mak update kat group whatsapp family..

"Degup jantung abah sangat kencang sekarang, 185 sedangkan bpnya border 89/54. Bila penat, degup kencang degup mungkin jatuh mendadak. Nurse suruh mak ngan kak endang terus baca yassin. Mesin oksigen dah bg penuh 100% sekarang," - mak

Masa ni aku masih bangun lagi, tapi dah mengantuk nak tido dah. Dalam hati debar-debar jugak. Tapi aku masih positif. Maybe takde ape. Sebelum ni pun ade gak jadi  kejadian cemas macam tu. Tapi lepas tu, setting mesin support abah, dia stabil balik.

Tapi selepas subuh pagi tu, mak call En.Dd cakap, suruh datang hospital. Bawak nenek sekali. 
Nurse dan dokter yang sarankan bawak nenek datang jenguk abah. 
Maybe abah nak jumpa nenek dulu before dia pergi ke. 
Sume pun siap-siap la pegi. 
Dalam sejam dua lepas tu, En.Dd call, cakap mak dah setuju untuk bawak abah balik rumah. 
Doktor pun kata abah dah takde harapan lagi.
Abah pun dah 100% bergantung pada mesin. 
Dan sebenarnya memanjangkan hayatnya pada mesin sebenarnya akan menyebabkan dia lebih sakit. 
Selepas selesai urusan ambulan, kira-kira pukul 11 lebih abah naik ambulan dan bergantung pada 4 tong oksigen sepanjang perjalanan ke rumah.
Sampai di rumah mak dalam pukul 1230 tgh hari.
abah dibaringkan atas katil di ruang tamu rumah supaya senang sedara mara datang ziarah abah.

Lepas selesai abah di rumah, baru lah En.Dd amik aku ngan Naurah ke rumah mak.
Sampai sana, aku lihat abah diperbaringan.
Segala tiub dan wayar masih ada.
Nafas abah turun naik.
Sedara mara masa ni dah ramai yang datang.
Semua sedekahkah yassin dan bacaan ayat Al-Quran.

Naurah lihat atuk.
Mula-mula dia diam. 
Ada sekali dua dia menyebut atuk.
Lepas tu dia main.
Duduk tepi katil atuk.
Anak kecil memang takkan faham lagi.
Suasana masa tu memang hiba.
Hanya kedengaran bisikan-bisikan ayat suci Al-Quran dari bacaan sedara mara yang datang.

Sampai ke petang, orang masih ramai datang dan pergi.
Sehingga nurse ambulan tu bagitau, tong oksigen hanya mampu bertahan dalam 10-15 minit saja lagi.
Abis tong oksigen, mak panggil semua anak menantu berada disisi abah.

Waktu tu dalam 640 ptg, dalam 5 minit oksigen abis, kulihat abah cuba menarik nafas. 
Tetapi yang keluar adalah darah dari paru-paru abah.
Masa ni semua orang terdiam dan tertumpu pada abah.
Akhirnya, 645ptg abah menghembuskan nafas terakhirnya dalam keadaan yang aku rasa begitu senyap dan tenang sekali.
Ibarat abah pergi dalam keadaan dia tidur.
Selepas tu, tangisan mak dan anak-anak dan saudara mara yang kedengaran memecah kesunyian itu.
Aku pun tak terkecuali.
Apabila nurse cek mata dan nadi abah telah terhenti dan dia kata "dah tak ada".
Air mata aku tak mampu ditanggung lagi.
Walaupun masa tu Naurah tetiba membuas pulak.
Sibuk nak baik tangga la. 
Geram betul aku.
Orang sume tengah emosi nih.

Aku rasa sampai pagi esoknya orang datang ziarah abah.
Aku terjaga pukul 2.30 pagi pun tengah dengar orang ngaji lagi.
Esoknya around 8.30 pagi, van jenazah pun sampai untuk bawak abah ke masjid area situ untuk dimandi dan dikafankan.
Selesai mandi dan kafan, terus kami ke perkuburan pantai dalam untuk kebumikan abah kat sana.
Sebelum tu abah di sembahyangkan kat surau blok 2 rumah aku.

Dalam pukul 1230 tgh hari abah selamat dikebumikan.
Sebak masih terasa, saat-saat sekujur tubuh abah kami dapat lihat buat kali yang terakhir sebelum dia ditutupi tanah.
Naurah seperti biasa, dah tengah-tengah panas tu memang tak dapat la dia nak duduk diam.
Tengah-tengah baca talkin, aku ngn umi dah kena blah pegi kedai mamak berdekatan belikan dia air dan berteduh.
Kteorang pun lepak la kedai mamak berdekatan sampai abis sume baca talkin baru balik ke rumah.
Sampai rumah aku pun, ramai sedara mara datang lepak rumah lagi.
Aku dapat settle down sume pun dalam pkul 230ptg.
Masa ni badan letih sangat.
Aku ngn Naurah pun ape lagi bukak air cond memang tido le sampai pukul 4ptg.

Malam tu lepas magrib baru ada tahlil dan bacaan yassin untuk abah.
3 malam berturut la kami buat tahlil dan bacaan yassin tu dekat surau bawah rumah.

Sampai sekarang, tiap kali aku lalu kawasan kubur dekat dengan rumah aku tu, aku akan ingat abah.
Terbayang-bayang macam mana la abah kat alam sana.
Sorang-sorang dalam tanah tu.
Insaf jap mengenangkan kematian yang begitu hampir dengan kita.
Sekarang turn abah, lepas ni turn siapa la pulak.
Ape yang pasti semua pun akan sampai turn jugak nanti.
Aku harap abah ditempatkan dengan orang-orang yang beriman.
Amiinn..



Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Chilled Oreo Cheesecake resipi - Tak perlu bakar! masuk peti sejuk je

Tersumbat telinga dan hidung lah pulak dah (sinusitis)

Alhamdulillah..Allah makbulkan jua doaku